was posted at 23:33
0 COMMENTS
#copypaste dari http://akuislam.com
Teruji sekeping hati dengan kehadiran insan yang memiliki ciri-ciri insan idaman . Hati yang tertutup rapat dari sesiapa yang pernah datang mula menerima kehadiran seseorang yang menghulurkan tali ikatan . Sungguh tidak terduga sebuah perasaan yang terpendam sendirian rupanya mendapat balasan . Hati mana tidak berbunga harapan .
Setulus itu dia datang dan menyampaikan pesanan beserta sekalung ucapan yang terlalu indah dirasakan . Namun tidak terduga tangan yang sedang berupaya menyambut rupanya tidak kesampaian . Di cantas tegahan dan mundur segala keriangan .
Di saat hatimu teruji dengan ujian yang sukar dilawan , kehendakmu ditentang tiada sokongan , pertemuan kian dijemput perpisahan , sudah pasti tiada suatu kata bisa menggambarkan hancurnya perasaan . Namun , kita harus percaya pada takdir dan ketentuan .Setiap segala yang berlaku diluar perancangan kita , barulah kita sedar bahawa ada kuasa yang Maha Agung telah mengaturkan semuanya .
Ya Allah , tutuplah mata ini dari memandang seseorang kerana dunia yang ada padanya . Biarkan mata hatiku berbicara tatkala insan yang Kau redha dan yang ku tunggu telah tiba .
Takdirku Telah Tertulis . Jika sesuatu telah ditakdir menjadi milik kita , berbekalkan usaha yang sedikit cuma , sudah mampu diraih dengan mudah . Namun jika sesuatu itu bukanlah ditakdirkan menjadi milik kita , perancangan paling mega yang kita cetuskan pun tidak mampu menandingi takdir Illahi , sudah pasti kita tidak akan bisa memilikinya .
Segala yang ada di dunia ini adalah hak Allah . KerajaanNya luas meliputi alam raya , angkasa dan segala-galanya adalah milik Allah . Dan apa yang Allah kurniakan kepada kita , itulah rezeki kita jua dariNya . Bersyukurlah . Jangan ditangisi apa yang bukan menjadi milik kita . Allah tidak mengizinkannya kerana Allah tahu kita berhak memiliki yang lain . Allah sedang menilai kesabaran kita dan jika kita bersabar tentunya ada anugerah dariNya buat kita .
Dari Ibnu Atoillah : "Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa , hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu . Dan yakinlah bahawa keputusan(takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik ."
Terkadang cinta yang menginap di hati manusia jua suatu ujian . Dihadirkan perasaan itu dan pula dijauhkan dari mendapatkannya . Makanya , kita teruji dan mendepani hari-hari suram . Cubalah sedaya upaya untuk menepis setiap dugaan . Percayalah bahawa jika sesuatu yang ditakdirkan betul-betul untuk kita , sesukar apapun , dia akan kembali untuk kita . Begitu jugalah sebaliknya .
"Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami . Dialah pelindung kami , dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah orang yang beriman bertawakal . (Surah Al-taubah 9:51)
Sapulah air mata yang terbit dari kecewa . Kau terluka dan merana , tentunya Dia mengetahuinya . Alangkah indahnya jika perasaan itu diganti dengan tawakal dan redha . Berdoalah pada Allah yang memiliki segalanya . Semoga Allah ubati kekecewaan yang dirasa dengan bahagia yang akan hadir kemudiannya .
P/s : entry di atas sama sekali dengan apa yang aku rasa . Insyaallah aku akan redha dengan segalanya . Dan aku yakin bahawa Allah lah sebaik-baik pengatur kehidupan manusia :)